Pada 17 April 2004 (Sabtu) bertempat di Dewan Seri Bestari Sekolah Menengah Agama Persekutuan telah diadakan satu Mesyuarat
Agung Tahunan Alumni Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (IKMAL) kali ke 6.
Mesyuarat tersebut dimulakan pada pukul 2.30 petang dan berakhir pada pukul 5.30petang. Perasmian mesyuarat ini telah
dilaksanakan oleh Pengetua SMAP Labu iaitu Ustaz Haji Mat Yunoh bin Dolah selaku tuan rumah. Mesyuarat ini telah dihadiri
oleh 32 orang bekas -bekas pelajar sahaja.
Antara agenda mesyuarat ialah mengenai pembinaan laman web IKMAL yang baru, cadangan memperkenalkan Yuran Seumur Hidup
dan Ahli Seumur Hidup, cadangan penubuhan syarikat XSMAP Corporation Sdn. Bhd, cadangan penubuhan Koperasi IKMAL dan isu-isu
berkaitan permasalahan keahlian Alumni SMAP Labu itu sendiri. Mesyuarat juga telah bersetuju untuk melantik 2 orang exco baru
iaitu Biro IT dan Timbalan Setiausaha Agung yang baru. Hasil perbincangan dan muhasabah yang telah dijalankan akan dilaksanakan
secara berperingkat-peringkat oleh jawatankuasa IKMAL itu sendiri dengan sokongan dan dokongan daripada kalangan ahli itu
sendiri.
Selepas selesai mesyuarat, para perwakilan lelaki telah turun ke padang bolasepak dan bola keranjang untuk bersama-sama
mengadakan perlawanan persahabatan dengan adik-adik pelajar SMAP sendiri. Dalam perlawanan yang penuh dramatik ini, pasukan
Alumni SMAP telah berjaya mengalahkan pasukan pilihan SMAP Labu dengan jaringan 2-1; salah satunya disumbangkan oleh Presiden
IKMAL sendiri iaitu saudara Azli Abdul Aziz.
Diharapkan pada tahun yang akan datang, lebih ramai lagi ahli IKMAL yang akan turut serta di dalam menjayakan Mesyuarat
Agung Tahunan IKMAL. Sekian terima kasih.
Yang melaporkan,
Mohamad Fadhal bin Mohamad Asri,
Naib Setiausaha Agung,
Alumni Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu,
Sesi 2003/05.